Emas mampu kekalkan kuasa belinya dalam jangkamasa yang panjang. Apa yang boleh dibeli dengan emas ribuan tahun yang lalu masih tetap boleh dibeli dengan berat emas yang sama pada hari ini.

(1) Buku The Golden Constant – Hasil Kajian Selama 447 tahun

Isu ini telah diterangkan di dalam buku “The Golden Constant – The English and American Experience 1560-2007″ oleh Prof. Roy W. Jastram dari Sekolah Pengurusan Perniagaan University of California.

Di dalam buku ini, Prof. Jastram cuba menjawab satu persoalan:

“Adakah nilai wang pada masa lampau adalah lebih tinggi berbanding sekarang?”

Ketika ini wang adalah emas.

Berdasarkan kajian daripada tahun 1560-2007 berkenaan harga emas semasa dan data indeks harga barangan di England dan Amerika, Prof. Jastram telah membuat rumusan berikut.

“Kami mendapati kuasa beli emas pada pertengahan abad ke-20 adalah hampir sama dengan kuasa belinya pada pertengahan abad ke-17″

Hasil kajian selama 447 tahun ini membuktikan kuasa beli emas sangat stabil dan dapat bertahan dalam jangkamasa yang panjang. Sudah pasti setiap penyimpan emas akan untung.

(2) Kuasa Beli 1 Dinar 1400 Tahun yang Lalu dan Sekarang

Dilaporkan oleh Ahmad dalam Musnadnya, daripada ‘Urwah yang bermaksud:

(Pada suatu hari), Rasullullah s.a.w. menemui sekumpulan binatang ternakan yang hendak dijual. Lalu Rasullullah s.a.w. memberikan kepadaku satu dinar dan berkata: “Wahai ‘Urwah, pergi kepada lelaki tersebut dan belikan untukku seekor kambing”. Aku pun pergi menemui lelaki tersebut dan melakukan tawar menawar sehingga aku dapat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar.

Kemudian aku membawa kedua ekor kambing tersebut. Dalam perjalanan, seorang lelaki menemui aku dan ingin membeli salah seekor kambing daripadaku. Lalu aku menjualnya dengan harga satu dinar. Kemudian aku berjumpa Rasulullah s.a.w. dengan membawa seekor kambing dan satu dinar lalu aku berkata: “Wahai Rasulullah, inilah dinar dan kambing milikmu.”

Rasulullah s.a.w. bertanya: Bagaimana kamu melakukannya?

Akupun menceritakan kepada Baginda apa yang telah aku lakukan, lalu Baginda berkata: “Ya Allah, berkatilah perniagaannya.”

Kesimpulan yang dapat dibuat dari kisah di atas adalah:

#1 – Kuasa Beli Duit Kertas Merosot

Harga emas sentiasa naik dalam jangka panjang disebabkan kuasa beli duit kertas yang menyusut dalam jangka panjang. Nilai barang masih sama, tetapi kita perlu bayar dengan duit yang lebih banyak untuk dapat barang yang sama.

Tahukah anda pada tahun 1971, kita hanya perlu bayar USD35 untuk dapat emas seberat 1 troy auns (31.1 gram), tetapi sekarang kita perlu bayar lebih daripada USD1200 untuk dapat emas yang beratnya masih sama. Dari satu sudut, memang betul harga emas naik, tetapi hakikat sebenar, kuasa beli duit yang jatuh.

#2 – Kekayaan Kekal Bila Simpan Emas

Walaupun harga emas melonjak naik sebanyak 3300% sejak 1971, hakikatnya pemilik emas tak pernah bertambah kaya. Sebaliknya, pemilik emas sekadar kekal kaya sahaja. Walaupun berlaku kenaikan sebanyak itu, 1 dinar hanya mampu beli seekor kambing sahaja. Ianya tak mampu membeli 10 ekor kambing. Kuasa beli emas 1 dinar tak bertambah disebalik kenaikan harganya.

Walaupun nombor harganya dilihat bertambah (naik), nilainya kekal pada berat dan ketulenannya sendiri. Kuasa beli 1 dinar masih kekal sejak 1400 tahun disebabkan nisbah 1 dinar (emas seberat 4.25 gram) dan 1 ekor kambing masih kekal sejak 1400 dahulu.

Akhir kata, simpan emas sudah pasti akan menguntungkan pemiliknya dalam jangkamasa yang panjang. Emas adalah wang jujur, dimana nilai emas tidak akan jatuh dalam jumlah yang besar apatah lagi menjadi ‘0’. Tiada tarikh luput, tidak hangus terbakar, bahkan dalam bentuk serbuk pun ianya masih bernilai.

Wallahua’lam.