Emas dan wanita berpisah tiada. Sudah menjadi kebiasaan bagi peniaga-peniaga wanita Kelantan memakai barang kemas. Ada yang pakai gelang emas sampai ke lengan. Gelang emas yang dipakai itu bukanlah sekadar perhiasan, tetapi itulah simpanan dan juga modal pusingan bagi perniagaan mereka.

Bila mereka perlukan duit untuk berniaga, mereka akan gadai / pajak emas itu di pusat pajak gadai (waktu itu belum ada ar-rahnu) untuk dapatkan pinjaman segera. Selesai urusniaga, mereka akan tebus balik emas tersebut. Emas dapat balik, duit untung berniaga pun dapat. 2 dalam 1, dan yang paling penting, duit modal perniagaan mereka tak hangus / bocor. Semuanya sudah dialihkan kepada emas fizikal.

#1 – Selesai Masalah ‘Kebocoran’ Modal

Bila duit itu dibiarkan / terbiar dalam akaun, maka duit itu berisiko besar untuk ‘bocor’, terutamanya untuk kegunaan peribadi. Sikit demi sikit duit itu ‘ditarik’, lama kelamaan duit dalam akaun simpanan habis. Untung belum ada lagi, modal entah kemana.

Ianya berbeza bila modal perniagaan sudah dialihkan kepada emas. Kita tak berpeluang nak rompak duit perniagaan; walaupun hanya RM100-RM200 untuk kegunaan peribadi. Perlu dingatkan duit perniagaan bukanlah duit peribadi, sebagaimana duit tunai. Ditambah lagi dengan kesan emosi ‘suka kumpul, tetapi sayang nak jual emas’, jadi modal pusingan perniagaan itu lebih selamat dalam bentuk emas berbanding dibiarkan dalam bentuk tunai di akaun simpanan.

#2 – Selesai Masalah Pinjaman Jangka Pendek

Rata-rata peniaga mahukan duit segera untuk digunakan sebagai modal pusingan perniagaan mereka. Masalah biasa yang timbul adalah pada mereka yang berniaga secara ‘project basis’ dan tempoh perniagaan yang pendek. Duit yang diperlukan pula adalah dalam jumlah yang kecil / sederhana.

Pinjaman bank biasanya perlukan tempoh minimum 2 tahun, sedangkan mereka cuma perlukan duit hanya untuk beberapa bulan sahaja. Kalau bayar awal pun, ia tetap merugikan sebab ansuran pinjaman bank (pada peringkat awal pinjaman), bahagian paling besar hanya untuk bayar kadar faedah sahaja.

Jadi susah untuk buat anggaran kos sebenar pinjaman untuk dimasukkan sebagai kos sesuatu projek, dan dicaj sekali dalam ‘quotation’ kepada pelanggan. Ia berbeza dengan caj pinjaman ar-rahnu (yang bercagarkan emas). Ia lebih senang dikira sebab ia dikira secara bulanan, iaitu sekitar 1.0% sebulan dari nilai pinjaman. Caj ar-rahnu itu senang dikira dan dimasukkan terus ke dalam kos sesuatu projek.

Apa yang anda perlu tahu, polisi setiap ar-rahnu berbeza-beza. Berapa nilai emas, apa dokumen yang diperlukan, berapa banyak pinjaman yang diberikan, berapa lama tempoh pinjaman, memang berbeza antara setiap ar-rahnu. Buatlah pilihan yang bijak.

Wallahua’lam.